SPACE NEWS & EVENTS
 

Space News & Events > News

  • 10/01/2008 - Angkasawan Negara Tokoh Maal Hijrah NS

 

SEREMBAN 10 Jan. – Angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Sembilan sempena Sambutan Maal Hijrah 1429 peringkat negeri di sini hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja‘afar Tuanku Abdul Rahman dan beliau menerima wang tunai RM10, 000, jubah, sijil dan pakej umrah sumbangan kerajaan negeri.

Hadir sama pada majlis berkenaan Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin dan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan dan bersekolah di peringkat awal di Sekolah Rendah St. Paul di sini berkata, pengiktirafan yang diterima itu merupakan satu rahmat dan merasa amat terharu kerana dipilih menerima anugerah berkenaan.

‘‘Saya berasa terharu dan berbangga serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan anugerah ini.

‘‘Saya berjanji untuk terus memberi inspirasi kepada remaja dan golongan muda untuk terus berjaya pada masa hadapan,” kata Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menerima anugerah itu di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini hari ini.

Tambah Dr. Sheikh Muszaphar, program angkasawan yang dilaksanakan oleh kerajaan merupakan satu perubahan dalam cara pemikiran umat Islam untuk terus berkembang dalam industri tersebut, sekali gus memahami kebesaran penciptanya, Allah swt.

‘‘Telah tiba masanya umat Islam melakukan yang terbaik, biarpun kita mengakui cabarannya begitu besar. Ia perlu mengambil masa untuk melaksanakan perubahan ini,” katanya.

Sementara itu menurut Mohamad, pemilihan Dr. Sheikh Muszaphar sebagai penerima Tokoh Maal Hijrah tahun ini, bukan dibuat hanya berdasarkan kejayaan beliau sebagai angkasawan tetapi ia turut mengambil kira pencapaian dalam aspek mengubah minda umat Islam.

‘‘Jangan fikir jika Maal Hijrah ini hanya dikaitkan dengan ulama sahaja tetapi haruslah diambil kira perkara meliputi ekonomi, sosial dan sebagainya. Kerajaan berbangga dengan pencapaian Dr. Sheikh Muszaphar kerana mengharumkan nama Malaysia dan Negeri Sembilan.

 

-Utusan malaysia

Copyright © 2007 Astronautic Technology Sdn Bhd . All rights reserved.