KUALA LUMPUR 12 Jan. – Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha akan kembali bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan akan melakukan pembedahan seperti biasa pada Februari ini.
Angkasawan Negara itu berkata, beliau tidak sabar-sabar untuk memasuki bilik pembedahan hospital dan berjumpa dengan para pesakitnya.
“Saya merasakan lebih bersemangat untuk kembali bertugas kerana pada masa yang sama ingin berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan setugas di HUKM,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Beliau sebelum itu menghadiri majlis ramah mesra bersama kira-kira 100 keluarga anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).
Katanya, tahun ini merupakan tahun paling mencabar kerana bukan sahaja perlu menumpukan perhatian pada kerjaya sebagai doktor dan angkasawan tetapi juga sebagai penceramah.
Pada masa sama jelas Sheikh Muszaphar, beliau akan memulakan penjelajahan seluruh negara untuk memberikan ceramah mengenai sains, agama dan seni.
“Saya akan ke seluruh universiti dan sekolah terutama semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi memperkenalkan dunia sains dan agama.
“Selain itu, saya ingin menekankan bidang seni halus, iaitu penghasilan batik kepada generasi muda kerana ia merupakan warisan negara dan pernah dibawa ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” katanya.
Mengenai perkembangan hasil kajian yang dijalankannya di ISS, katanya, keputusannya dijangka diketahui April ini.
Menurutnya, kajian itu sudah berada di peringkat akhir tetapi masih memerlukan masa untuk mendapatkan keputusan terbaik.
Pada majlis itu, Sheikh Muszaphar menceritakan pengalamannya selama 10 hari berada di ISS dan juga ditanya sama ada beliau dapat melihat Kaabah di Mekah dan juga laut di bumi.
Katanya, secara mata kasar objek berkenaan tidak dapat dilihat dari ISS tetapi gambar yang diambil jika dipindahkan ke dalam perisian komputer, boleh dilihat tetapi tidak jelas sepenuhnya.