SPACE NEWS & EVENTS
 

Space News & Events > News

  • 20/01/2008 - Bersatu demi kejayaan negara – Angkasawan Negara

 

PUTRAJAYA 20 Jan. – Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mahu mahasiswa negara ini mengekalkan perpaduan di kalangan mereka kerana ia menjadi penentu kejayaan masa depan Malaysia.

Menurutnya, semangat perpaduan sangat penting dalam mencapai misi antarabangsa agar Malaysia setanding dengan negara luar.

‘‘Sebagai contoh, walaupun Rusia dan Amerika Syarikat merupakan seteru tetapi ketika di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), tidak ada perselisihan di antara angkasawan negara-negara itu malah mereka memiliki persefahaman yang kuat.

“Dalam hubungan ini, ada ciri-ciri kekuatan luar biasa kerana ada satu cantuman fikiran walaupun berlainan negara, adat dan bangsa. Ini perlu dicontohi oleh rakyat negara ini terutama mahasiswa,” katanya.

Penuntut

Sheikh Muszaphar berkata demikian pada forum perpaduan yang diadakan sempena pelancaran Gegar U! Warna-warna Malaysiaku - Suatu Lambang Perpaduan di sini hari ini.

Antara ahli panel program itu ialah pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Rajendran Ngapan dan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Dr. Lee Swee Tin.

Program Gegar U! Warna-warna Malaysiaku - Suatu Lambang Perpaduan dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang (Penyayang) melibatkan penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta dari seluruh negara.

Seramai 4,794 penuntut termasuk dari politeknik dan kolej komuniti menyertai acara yang dilancar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu.

Menurut Sheikh Muszaphar, misi beliau ke ISS untuk mengubah dan membakar semangat masyarakat Malaysia supaya dapat mendalami ilmu sains dan teknologi.

 

-Utusan Malaysia

Copyright © 2007 Astronautic Technology Sdn Bhd . All rights reserved.